20191222

Doa Yang Tertangguh

Assalamualaikum dan selamat bersiaran kembali semua!

Alhamdulillah, sedar tak sedar dah cukup setahun lebih Khairul ini menjadi penganggur yang berjaya. Jujurnya, tak pernah langsung terlintas dalam fikiran yang bila habis belajar kena tunggu setahun (atau mungkin lebih) sebelum beralih ke fasa seterusnya. Mungkin dalam pemerhatian nampak mudah untuk mendapatkan kerja. Terutamanya bila di sekililing sendiri tengok senior-senior dan kawan-kawan yang bergraduasi lebih awal dah berjaya mendapat tempat, berjaya memberi hasil titik peluh pertama kepada keluarga. Semuanya nampak mudah. Maka, seorang Khairul yang naif ini tidak pernah terlintas bahawasanya beliau akan tergolong dalam statistik graduan menganggur di Malaysia. Dan jujur juga, diri ini sememangnya yakin yang dia tidak perlu terlalu lama menunggu. Tamat belajar, yang terlintas dalam fikiran adalah mencari kerja bukan suatu masalah. Yakin benar dengan segala sijil, pengalaman, dan keputusan peperiksaan sehingga lupa yang sepatutnya menjadi sandaran dalam kehidupan itu bukan kejayaan, tetapi Tuhan. Dan seterusnya, bermulalah episod-episod pengharapan juga keputus-asaan seorang Khairul.

Tipu sebenarnya jika hendak katakan sepanjang tempoh tidak mempunyai sebarang pekerjaan ini hidup sentiasa bahagia, tidak perlu fikirkan masalah, dan penuh warna-warni. Walaupun hakikatnya aku tidak pernah punya sebarang tekanan dari keluarga, tidak ada sebarang paksaan mahupun dugaan yang memaksa untuk perlu bekerja, namun tetap juga timbul di dalam hati perasaan iri. Timbul bisikan-bisikan yang membuat aku menyoalkan takdir dan jalan yang Tuhan tetapkan. Apa tidak cukup segala lelah aku sewaktu belajar mengejar keputusan akademik dan kokurikulum untuk melayakkan aku mendapat pekerjaan? Dan kitaran persoalan mengapa itu berterusan saban hari sampai ada ketikanya aku sendiri sudah lelah mahu peduli. Walhal aku sebenarnya tidak pernah hidup dalam kesusahan dan tidak begitu terdesak mahukan pekerjaan. Sengaja menyakitkan hati sendiri, mungkin.

Suatu hari, Mak Njang mempelawa aku untuk mengikuti kuliah dhuha. Mulanya sekadar menghormati undangan itu, maka aku terima. Dan mulai hari itu, aku mulai 'nampak' akan hakikat hidup seorang hamba. Kalau bukan kerana Dia yang menggerakkan Mak Njang, mungkin aku masih kemurungan menghitung beban. Sebulan selepas itu aku dipanggil untuk menghadiri temuduga di ibu kota. Aku memohon pekerjaan menggunakan alamat semasa dan menyedari hakikat bahawa hanya aku yang dipanggil untuk sesi temu duga itu sememangnya membawa aku kelangit biru. Fikirku Tuhan sudah menjawab segala doa yang aku panjatkan saban hari. Gigih aku meyakinkan mak abah bahawa mungkin ini takdir yang Dia tetapkan. Maka bermusafirlah seorang Khairul berbekalkan keyakinan seorang bekas pendebat dan fail sijil yang tidak kurang tebalnya. Sesi temuduga berjalan dengan lancar dan penuh keyakinan (perasaan sendiri lah kan). Dan selepas beberapa minggu penantian, akhirnya permohonan aku ditolak. Tipulah kalau waktu tu tak terlintas persoalan mengapa dan apa lagi yang perlu aku hadapi. Apa lagi yang masih tidak mencukupi.

Allah yang maha baik menjawab persoalan melalui kelas dhuha seterusnya. Bahawa hakikat hamba itu tidak langsung punya daya upaya melainkan dengan apa yang Dia kurnia. Bahawa pergantungan hidup itu bukanlah pada segala apa di dunia yang kita punya melainkan semua atas kehendak yang Maha Esa. Untuk panggilan-panggilan temuduga seterusnya, aku mula ubah doa yang aku panjatkan. Tidak lagi meminta Allah untuk memberi kejayaan dalam temuduga tersebut, sebaliknya meminta Dia memberikan pekerjaan yang baik untuk agamaku, kedua ibu-bapaku dan masa depan dunia serta akhiratku. Sungguh, bila aku semakin mengerti akan hakikat takdir yang Allah kurnia, segala yang duka sebelumnya sudah terlihat bahagia. Dia hadirkan orang-orang yang tidak pernah lokek mendoakan aku. Hatta makcik atau pakcik yang berpapasan di jalanan atau yang menjadi teman sewaktu dalam kenderaan awam semuanya mengakhiri pertemuan dengan mendoakan aku.

Susah sebenarnya untuk mengajar hati menjadi reda dengan takdirNya. Aku tidak dapat nafikan hakikat yang satu itu. Namun apa yang aku mampu katakan, bila mana aku sudah semakin jauh, atau bila sahaja hati ini terdetik sedih melihat kejayaan orang lain, akan sentiasa ada ingatan dari Allah bahawa Dia tidak pernah melupakan mahupun meninggalkan aku. Dan ingatan itu datang dalam keadaan yang tidak disangka-sangka, pada masa yang sememangnya tepat sewaktu jiwa sedang meronta.

Maka, Khairul Syazwani, ingatan ini untuk kamu bila sahaja kamu sedang mempersoalkan takdir Tuhan. Ingatlah, yang paling menyayangi kamu itu ialah Allah Ar-Rahim. Tidak ada sesiapapun di dunia ini yang lebih menyayangi kamu melainkan Allah. Dia mentadbir alam ini dengan sebaik-baik perancanganNya. Hanya kamu sahaja yang sering terburu-buru. Terburu-buru dalam solat, terburu-buru dalam berdoa, bahkan terburu-buru dalam meminta Allah memperkenankan doa. Dia menangguhkan bagi kamu beberapa perkara yang terlalu kamu inginkan namun hakikatnya Dia memberikan seribu satu nikmat yang tidak pernah kamu pohonkan dan tidak pernah kamu bayangkan. Semoga segala apa yang kita rancangkan diperkenan dan dipermudah oleh Allah Ya Baari', yang Maha Mengatur. Hidup ini mudah sayang, kamu cuma harus sedar hakikat kehambaan dan hakikat hidup bertuhan. InshaAllah, dunia dan segala isinya akan dapat kamu lihat dengan kaca mata bahagia.

TLDR;
كل تاءخيرة فيها خيرة
akan ada kebaikan bagi setiap kelewatan dan penangguhan

"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku, dan telah putihlah uban dikepalaku; dan aku- wahai Tuhanku, tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu"
- Maryam (19:4)

syazwani, masih setia menanti

20190824

Pajeri Nenas Johor

assalamualaikum!

Dah lama sebenarnya teringin nak makan pajeri nenas ni. Since kenduri kak un haritu tapi taktau orang panggil apa. gigih cari resepi. Alhamdulillah, jumpa. Harini mission accomplished! Hihi. Meh kita share resepi eh. Sumpah senang gila nak buat :)

Bahan-bahan:

- sebiji nenas (potong kecik-kecik dan celur sebentar dalam air panas)
- seulas bawang putih
- tiga biji bawang merah
- seinci halia
- sedikit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih untuk ditumis
- satu sudu teh biji sawi
- setengah sudu teh serbuk kunyit
- satu sudu besar cuka
- garam dan gula secukup rasa
- sedikit air

Cara-caranya:


1. Bawang putih, bawang merah dan halia dipotong nipis.
2. Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih dan halia sehingga naik bau.
3. Masukkan kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan biji sawi. Tumis sehingga naik bau.
4. Masukkan serbuk kunyit, sedikit air dan cuka.
5. Tambah garam dan gula secukup rasa dan masukkan nenas.
6. Masak sebentar hingga mendidih dan sedia untuk dihidang! :)


* selamat mencuba!
** sedap makan dengan nasi panas panas + ikan masin goreng :P


20190823

U-Turn

Assalamualaikum.

Aku bukanlah orang terbaik untuk membicarakan soal hijrah atau secara metaforanya, pusingan U; iaitu satu titik perubahan bila mana kita sedar makna dan hakikat kehidupan itu sebenarnya untuk apa dan untuk siapa. Perjalanan hidup aku sendiri masih jauh. Aku cuma mahu berkongsi kitar hidup singkat saat aku sedar disini mulanya aku perlu membuat pusingan U dalam hidup.

Banyak sebenarnya rentetan peristiwa yang terjadi dan telah berjaya membuka mata dan hati aku untuk sedar bahwasanya hidup ini bukan semata untuk bergembira mahupun sekadar mencapai apa yang kita cita. Hidup ini, lebih dari itu. Hidup ini untuk kita mengenal yang maha satu untuk kita bersedia menghadapi alam yang lagi satu.

Peristiwa pertama, saat aku ditugaskan menjadi 'jururawat peribadi' buat arwah tok lepas SPM. Aku mengaku, aku yang dulu seorang yang panas baran, memberontak dan pantang dicabar. Tapi, Allah hadirkan tok yang sedang sakit untuk menguji aku. Diawalnya jujur, aku memang tidak mampu bersabar. Pernah sekali aku marahkan tok kerana penat melayan kerenah tok. Dan saat air mata tok menitis, ada satu perasaan yang aku sendiri tak dapat tafsirkan. Ibarat satu tali halus yang menyentap hati. Waktu itu, aku sedar aku perlu belajar bersabar. Dan mulai saat itu aku  mengenal erti manisnya kesabaran.

Kedua, aku berani katakan sekalipun aku berasal dari keluarga yang latar belakang agamanya Alhamdulillah bagus, ada satu detik dalam hidup yang buat aku tersimpang jauh. Solat entah kemana, aurat tidak dijaga, ikhtilat lagilah aku pandang sebelah mata. 2013, aku kemalangan sewaktu dalam perjalanan ke Shah Alam untuk latihan berpusat. Secara logikal dan teoritikalnya mahupun setelah dikira segala kebarangkalian adalah tidak mungkin untuk aku tercampak ke cermin hadapan van sewaktu kemalangan tersebut memandangkan aku duduk di bahagian belakang. Tetapi, dalam 10 orang yang berada dalam van itu, Allah pilih aku sebagai yang paling parah impaknya sedang yang lain langsung tidak terkesan. Saat dalam bilik kecemasan bila saja aku terpandang cahaya lampu diatas sewaktu doktor menjahit luka didahi, segala perlakuan aku bagaikan terbias kembali. Mungkin klise. Tapi hakikatnya bila kita sedar bahawa kematian itu seinci cuma, kita akan rasa bersyukur dihidupkan kembali. Allah masih memberi peluang.

Tudung yang aku pakai hampir tertanggal impak perlanggaran tersebut. Waktu mak ajukan soal keadaan aku ketika kemalangan dan aku ceritakan perkara ini, mak cakap "Kalau kita jaga Allah, kalau kita betul betul menjaga aurat, inshaAllah, Allah akan bantu kita. Datanglah keadaan bagaimana sekalipun, kita akan terjaga" hampir sebulan cuti dirumah aku buat keputusan untuk berubah. Aku tidak tahu apa mungkin aku masih diberi peluang kedua. Aku mula mengenakan tudung yang lebih labuh dan pakaian yang lebih menutup walaupun aku sendiri tidak yakin apakah aku mampu bertahan.

Dalam tempoh peralihan atau penghijrahan aku ini semestinya ada pasang surut. Ada saat iman dipuncak tertinggi ada saat aku jatuh tidak berdaya lagi. Aku mengaku, hijrah ini bukan perkara senang. Bukan semua orang mampu. Apatah lagi bila kita masih dikelilingi golongan yang sama, hijrah kita lebih sukar jalannya. Ada sebab kita perlu memilih rakan yang baik. Proses pendakian aku menuju penghijrahan berlaku dalam tempoh yang lama. Aku bertatih dan aku pernah terduduk seketika mengenang senangnya dan bahagianya hidup seorang Khairul Syazwani dulu. Tak perlu fikir persepsi sesiapa. Aku bebas buat apa yang aku mahu. Bila mula bertudung labuh aku rasa pergerakan sedikit terbatas. Ada mata-mata yang memerhati. Berulang kali mak pesan, jangan jadi fitnah kepada agama. Kalau belum bersedia, jangan mula memakai tudung labuh. Ubah akhlak tu dulu.

Tahun-tahun awal diploma, keputusan akademik aku tidak memberangsangkan. Tidak tahu dimana silapnya. Aku cuba fokus, study, buat short note dan pelbagai lagi, namun masih tidak berhasil. Sekali lagi, melalui mak, Allah sedarkan aku. Bila mak bertanya selama ni aku berusaha, aku jaga tak hubungan dengan yang memberi rezeki, Allah SWT. Semester akhir, aku ubah gaya hidup, aku utamakan Dia sebelum apa pun. Aku tahu Allah memandang segala usaha yang aku curahkan. Aku berusaha dan aku bertawakal. Alhamdulillah, keputusan peperiksaan semester akhir adalah yang paling memberangsangkan sepanjang tiga tahun pengajian. Aku semakin sedar bahawasanya Allah itu sentiasa mendengar rintihan hambaNya, dan Allah itu maha pengasih lagi maha penyayang.

Sementara menunggu tawaran ke degree, aku terpaksa 'berehat' seketika dek kerana terlupa mengambil MUET dan mulai tahun itu, kami diwajibkan ada keputusan MUET sebelum menyambung pelajaran. Hati mana yang tidak sedih melihat rakan seperjuangan sudah mara ke peringkat seterusnya tetapi kita masih menunggu tanpa mampu membuat apa apa. Namun sesungguhnya, takdir Allah itu indah. Sebab Allah tangguhkan pengajian aku rupanya kerana ingin menjemput aku ke tanah suciNya. Andai aku menyambung pelajaran pada waktu itu, aku mungkin tidak menjejakkan kaki lagi ke tanah suci. Kami dijemput kesana selepas beberapa kemelut yang melanda keluarga. Besarnya ganjaran Allah kepada hambaNya yang bersabar. Sewaktu mendengar taklimat persediaan dari ustaz dan ustazah, aku sedar. Bukan sengaja Allah menjemput hambaNya untuk menjadi tetamuNya. Lama aku berdoa dan berfikir hikmah disebalik jemputan ini.

Sewaktu di Mekah dan Madinah, aku tekadkan hati dan bulatkan azam untuk berhenti dari dunia debat. Aku berhenti selepas hampir separuh hidup aku abadikan dengan debat. Aku berhenti sewaktu tangga yang aku daki hampir mencapai puncak karier aku dalam debat. Tapi aku tidak menyesal. Aku yakin akan ganjaranNya bila kita tinggalkan sesuatu yang kita cintai demi mencapai redhaNya tidak terhingga.

Saat ini, aku masih belum sempurna. Hatta baik sekalipun masih jauh dari diri seorang Syazwani. Aku masih mencari. Tapi kini aku lebih pasti ke mana destinasi yang perlu aku pergi. Buat insan yang masih mencari titik pusingan U mereka, pesan aku cuma satu. Hijrah ini memerlukan kekuatan mental dan fizikal. Paling utama adalah mental. Saat kau ingin berhijrah, kau benar benar akan diuji dengan pelbagai cara. Kuatlah. Yakinlah. Di hujung sana ada sinar yang takkan pernah sirna cahayanya. Yakinlah, satu langkah kau kembali, seribu langkah Dia mendekati. Semoga kita terus diberi ruang dan peluang untuk membuat pusingan U. Wahai Zat yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hati hati kami ini dijalanMu. Janganlah Engkau biarkan kami ini terus tersesat dan hanyut dalam dunia. Teguhkan hati kami dijalanMu, berikanlah sinar hidayahMu buat kami.
Amin.

syazwani.masih mencari.
070916:0040

**mengambil keputusan untuk menyiarkan nukilan ini setelah bertahun terperam dalam simpanan