20150320

Kahwin Muda. Perlu atau tidak?

Assalamualaikum W.B.T,

Pertamanya, saya menulis kali ni di atas pendapat dan pandangan saya sendiri berdasarkan sedikit sumber rujukan. Dan sesungguhnya, saya bukanlah orang yang tepat untuk membicarakan soal ini dari sudut pandang dalil mahupun penjelasan secara terang dari hadis dan sebagainya sebab secara jujurnya, saya sendiri masih dangkal dan cetek ilmu agama.

Persoalan yang wajib meniti di bibir gadis, mahupun pemuda menjangkau lewat belasan dan mencecah ke angka puluhan pasti soalan kahwin dan mendirikan rumah tangga. Tambahan dengan trend semasa yang banyaknya pasangan berkahwin muda membuatkan ada sesetengah pihak rasa 'tergugat' bila masih tidak berteman menjangkau usia 20. Persoalannya sediakah kita untuk memikul tanggungjawab? Sebab, amatlah rugi dan sayang sekali jika kita berpendirian kahwin awal atas dasar mengelakkan maksiat, tanpa memikirkan kesediaan kita terutamanya para wanita untuk menjadi seorang pendidik bakal khalifah di dunia ini.

Sebagai seorang wanita, saya ingin lebih memberatkan perihal wanita dan sudut pandang dari kaca mata seorang wanita dalam isu ini. Banyak perkara yang perlu kita pertimbangkan sebelum mengambil langkah untuk berkahwin terutamanya pada usia muda. Dari sudut jasmaninya, kestabilan kewangan seorang bakal suami mungkin salah satu isu yang kita perlu berfikir panjang. Namun, secara rohaninya, kita perlu berfikir, kita bakal menjadi seorang ibu yang akan bertanggungjawab mendidik khalifah kecil kita dalam mahligai cinta kita kelak. Bukan sekadar mengajar mengira dan membaca, namun kita harus mempersiapkan putera dan puteri kita dengan ilmu agama secukupnya. Terutama apabila memikirkan  zaman sekarang yang penuh dengan fitnah dan dugaan.





Sudah lancarkah kita membaca Al Quran, Kalam Allah? Sedang hukum tajwid dalam Quran itu sendiri saya yakin bukan semua mahir apatah lagi hukum dan fiqh kewanitaan. Jika kita mempunyai seorang puteri nanti dan dia bertanya kepada kita  memandangkan kita seorang ibu, orang yang terdekat dengan dia mengenai isu fiqh ini, bersediakah kita?

Mungkin ada yang akan berkata, "Kalau nak menimba ilmu agama, sampai bila pun takkan habis."
Benar, ilmu untuk mengenal dan memahami Islam mungkin takkan habis kita fahami hingga ke liang lahad. Setidaknya, persiapkanlah diri dengan perkara perkara asas. Contoh, kewajipan solat, berpuasa dan sebagainya. Agar ada penjelasan buat anak anak kita nanti. Bukan sekadar menjawab, "Orang Islam semua kena buat. Allah suruh" Persiapkan diri dengan hujah dan ilmu agar dapat kita membentuk seorang khalifah yang jati diri Islamnya kuat dan in sha Allah mampu menjadi anak soleh yang mendoakan kita di 'sana' kelak.

Persoalan kedua yang timbul dalam orang 'muda' yang teringin kahwin awal ialah "kahwin awal kan elok untuk elakkan zina, apa salahnya?" Benar, perkahwinan itu salah satunya untuk mengelakkan zina, malahan bagi sesiapa yang sudah tidak mampu mengawal lagi bimbang berzina, diwajibkan kahwin keatasnya. Namun, sedar atau tidak, persoalan 'kahwin awal nak elak zina' ni akan timbul pada manusia manusia yang hidupnya sudah biasa dengan jalan jalan menghampiri zina. Ber SMS, chatting dan bergayut di telefon dengan bukan mahram. Jika sedari awal kita jaga hati dan pergaulan, kita serahkan hati pada Allah, akan timbulkah isu berkahwin untuk mengelakkan zina? Saya yakin tiada.



Kepada pasangan yang berkahwin awal, Alhamdulillah. Allah tetapkan jodoh anda sampai awal. Kepada yang masih bersendirian, persiapkan diri anda untuk menjadi wanita solehah agar, si suami yang bakal menjadi peneman hidup anda nanti juga si dia yang soleh. Simpan hati anda buat yang halal, jadikan cinta anda cinta yang 'high class'. Bukan anda sahaja, saya sendiri pernah mengalami konflik 'teringin' kahwin awal. Namun, bila saya perhalusi apa niat saya nak berkahwin awal, dan plan jangka masa panjang saya sendiri, saya sedar saya hanya mampu berharap pada Allah yang terbaik. Pesan saya, kepada sahabat sahabat yang mengimpikan untuk  berkahwin pada usia muda, siapkan plan kehidupan dan diri anda dari sekarang. Sekiranya anda tidak membebankan ibu bapa dan berkahwin atas dasar agama, in sha Allah, Allah akan permudahkan niat kita. Buat sesiapa yang belum sampai jodohnya, ketahuilah, Allah sebaik baik perancang. Gunakan kesempatan yang ada buat para gadis terutamanya untuk berbakti kepada ibu bapa anda selagi mampu. Sebab, saat anda sah menjadi isteri, tanggungjawab dan perhatian anda kepada suami dan keluarga adalah yang utama.

semoga Allah berkati hidup anda, saya dan kita semua. Semoga Allah permudahkan apa yang terbaik untuk kita. in sha Allah :)




No comments:

Post a Comment