20150328

Roda Kehidupan

Assalamualaikum,

     Bila diberitahu saya lebih suka naik bas 'lompat-lompat' yang terkadang mengambil masa dua jam lebih berbanding bas ekspres untuk pulang ke rumah, rata rata orang menganggap saya pelik. Kata mereka, mana ada orang mahu duduk berhimpit dalam bas yang panas, penuh dengan bauan kurang enak dan menyesakkan. Hakikatnya, saya pandang bas 'lompat-lompat' itu sebagai sebuah roda kehidupan. Yang didalamnya terdapat pelbagai watak manusia, rata ratanya hidup mereka saban hari memikirkan bagaimana mahu meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia yang semakin menzalimi rakyat kelas bawahan, atau marhaen ini.

     Saya dapat lihat keringat warga emas yang sebaya dengan tok dirumah, mengangkat barang jualan menahan bas di tengah hari yang terik. Sungguh apa yang saya fikir, andainya itu tok saya sendiri masih tegakah saya membiarkan dia bekerja. Sampai ke usia senja sekalipun masih menggunakan kudrat tulang empat kerat untuk mencari nafkah. Seorang lelaki tua yang buta, hanya menggunakan batang mop sebagai tongkatnya menaiki bas berseorangan. Pernah juga duduk bersebelahan seorang ibu mengandung membawa dua anak kecil, dengan penuh susah payah berseorangan menguruskan anak anak. Ajaibnya golongan ini, sekalipun mereka dalam kesusahan, mereka tidak lokek menghadiahkan senyuman dan menjadi teman berbual saya sepanjang perjalanan menelusuri kehidupan masyarakat yang penuh kasih sayang sesama insan. Hidup mereka penuh dengan kebahagiaan sekalipun mereka dalam kesempitan.

     Ada suatu ketika di hadapan saya duduk seorang pelajar sebaya dengan saya rasanya, perempuan. Datang sekumpulan nenek naik bas tersebut, disebabkan keadaan bas yang sempit dan tempat disebelah perempuan tadi hanya dibuat letak beg, salah seorang nenek memandang mengharap diberikan tempat duduk itu buatnya. Yang menyakitkan hati, perempuan tadi tidak langsung pedulikan nenek tersebut, malahan hanya membetulkan letak duduk begnya. Akhirnya, nenek tersebut menumpang duduk dengan rakan yang bersama naik bas sebentar tadi. Sedih dengan akhlak perempuan tersebut, seorang muslim yang langsung tidak menunjukkan kasih sayang sesama saudara malahan mementingkan diri sendiri. Berlawanan dengan penumpang bukan Islam yang tidak kisah bangun dan berdiri bagi memberikan tempat pada yang selayaknya. Sampai bila kita mahu menjadi seorang Islam pada nama yang tidak mempunyai akhlak sehebat baginda Rasulullah SAW?
     Pernah juga saya berkesempatan berbual dengan seorang yang membahasakan dirinya 'tok' dalam perjalanan dari Alor Star ke Sungai Petani. Tok ini menceritakan kerisauan beliau pada golongan muda yang tidak lagi menghargai makanan tradisi apatah lagi mahu belajar dan meneruskan legasi makanan tradisional. Banyak input yang tok ini kongsikan sepanjang perjalanan. saya sendiri rasa dihargai bila bersembang dengan beliau.

     Hakikatnya, dalam perjalan lebih tiga jam untuk pulang kerumah, saya banyak belajar. Tentang susah payah masyarakat, tentang kasih sayang dan paling penting tentang hakikat kehidupan. Sesekali, cuba naiki 'roda kehidupan' ini dan pandanglah mereka dengan mata hati agar kita lebih menghargai setiap nikmat yang Allah beri.

No comments:

Post a Comment